2011: SUATU PERMULAAN | #KaranganBolaSepak

2011: SUATU PERMULAAN | #KaranganBolaSepak by aeidraqi

Sebagai salah seorang peminat bola sepak, semestinya akan ada sejarah tersendiri bagaimana mereka mula meminati sukan bola sepak secara serius. Aku mula meminati bola sepak secara umum sejak di bangku sekolah lagi. Setiap budak lelaki meminati sukan bola sepak dengan bermain bola sepak sesama mereka sama ada di sekolah atau pada waktu petang. Aku hanya tahu bola sepak sebagai sebuah permainan, tidak lebih daripada itu. Namun begitu, apabila aku sudah menganjak usia ke alam sekolah menengah, aku mula menerima pendedahan mengenai bola sepak sedikit demi sedikit. Keterbatasan aku semasa di asrama adalah kami dilarang untuk menonton televisyen kecuali pada hujung minggu sahaja. Hal ini juga agak sukar buat kami pada masa itu untuk menonton perlawanan bola sepak (melainkan mereka membuka saluran langsung di televisyen). 

Namun, pada tahun 2011, tahun yang menjadi titik permulaan untuk aku mula mengenali dunia bola sepak secara mendalam. Aku berikan kredit ini kepada sahabat lama aku, Ahmad Farhan Maula, yang telah memberikan aku serba sedikit pengetahuan mengenai bola sepak. Bermula dengan kelab-kelab liga Eropah yang bertanding, sehingga kepada para pemain bola sepak. Beliau juga memberikan aku jersi 3rd kit Manchester City musim 2011/2012 (berwarna gelap, masih disimpan sampai sekarang) sebagai permulaan aku untuk meminati dunia bola sepak. Hal ini juga menjadi permulaan aku mula untuk meminati pasukan Manchester City sehingga sekarang. Menganjak ke tahun 2015, aku mula sertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Kumpulan Peminat Manchester City Malaysia (MCM). Walaupun aku agak baru pada masa itu, tetapi aku agak senang untuk bergaul dengan mereka, walaupun kebanyakan daripada mereka lebih berumur daripada aku. Aku mula bergiat dalam pertubuhan tersebut dan menjalinkan hubungan persaudaraan dengan rakan-rakan peminat di seluruh Malaysia.  

Perjalanan aku dalam bola sepak diteruskan apabila aku mendaftarkan diri di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Bangi) dalam bidang ijazah sarjana muda Sains Politik. Menjadi satu cabaran untuk aku mengambil bidang yang agak baru di peringkat universiti. Pada akhir tahun kedua pembelajaran, para pelajar telah diberikan tugasan untuk membuat suatu proposal tesis untuk tahun ketiga. Aku mula memikirkan apa tajuk yang sesuai untuk dibentangkan. Aku melihat kepada perkembangan bola sepak, lalu aku mengaitkan dengan kapitalisme dalam sukan bola sepak Inggeris. Aku mula mencari bahan rujukan untuk melihat tajuk yang difikirkan dengan lebih mendalam. Bermula daripada saat itu, aku terjumpa artikel daripada laman Semuanya Bola (SB), yang merupakan laman bola sepak pertama yang aku jumpa dalam bahasa Melayu. Hal ini memudahkan aku untuk memahami isu bola sepak dengan lebih mendalam. Melalui artikel-artikel yang diterbitkan, aku mula mengenali pasukan liga amatur/sosial yang bertempat di Shah Alam, iaitu Shah Alam Antlers (SAAFC). 

Aku mula mengikuti perkembangan Shah Alam Antlers dengan menonton perlawanan mereka menentang AUFC (yang berakhir dengan keputusan seri). Aku juga membeli cenderahati yang dijual oleh mereka sebagai tanda sokongan kepada kelab tersebut. Melalui SB juga, aku terbaca mengenai Hari Bola Sepak Selangor 2017 yang diadakan di DPAC Selangor. Aku mengambil keputusan untuk hadir ke sana, dengan harapan aku akan dapat lebih banyak sumber dan kenalan di sana. Di sana, aku jumpa dengan pelbagai pihak yang berlatarbelakang sukan bola sepak. Aku juga sempat bertemu dengan Aizat Amdan (kebetulan menghantar makanan untuk program tersebut), duo daripada Tifo Arena, saudara Khal (Padang Bola Sepak), saudara Hanif Miswan, Dr. Johan Kamal (sekarang sebagai Setiausaha Agung FAS), En. Ayani Ismail (mantan CEO Shoot & Score/SAAFC), En. Kevin Ramalingam (mantan CEO MFL), En. Safirul (CEO NFDP) dan bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

Bermula daripada saat itu, pelbagai info dan maklumat sumber pertama dapat diperoleh daripada mereka. Tesis aku bertajuk ‘Pengaruh Kapitalisme dalam Pengurusan Bola Sepak Liga Inggeris dan Hubungannya dengan Kerajaan’ telah menjadi tajuk yang telah diterima oleh penyelia. Walaupun aku agak sukar mencari sumber sama ada dari dalam dan luar negara, aku berasa amat bersyukur dapat menyiapkannya dan menghantar pada tarikh yang ditetapkan. Aku telah bergraduasi pada tahun 2018 dan mengambil peluang untuk terlibat dengan beberapa aktiviti sukarelawan dalam kejohanan yang melibatkan sukan bola sepak. Antara kejohanan yang aku melibatkan diri pada tahun tersebut seperti perlawanan akhir Piala Belia/Presiden/FAM. Kejohanan bola sepak AFC Bawah-16 menjadi antara kejohanan tertinggi yang pernah aku sertai yang mana aku sempat bergambar dengan saudara Luqman Hakim (penjaring terbanyak AFC B16). Aku juga berpeluang untuk bertugas dalam perlawanan antarabangsa yang melibatkan pasukan Malaysia di Bukit Jalil sepanjang tahun 2018-2019. Peluang untuk bertemu skuad kebangsaan tidak pernah dilupakan sehingga sekarang. 

Pada masa kini, aku banyak turun ke stadium (terima kasih kepada kempen #AkuTurunStadium oleh Tifo Arena) yang melibatkan pasukan Selangor dan juga UKM. Di sini juga aku mengenali orang perseorangan yang pernah bertugas dalam organisasi kelab tersebut. Aku juga cukup bertuah mengenali En. Izhar (mantan naib presiden Selangor) yang banyak memberikan info dan kemudahan mengenai pasukan Selangor sendiri. Aku juga ada simpan beberapa koleksi jersi dalam simpanan sama ada mempunyai tandatangan pemain, jersi rare dan jersi yang sukar diperoleh. Walaupun dunia sekarang mengalami pandemik COVID-19, namun itu tidak mematahkan semangat aku untuk terus mencari bahan rujukan tesis untuk pengajian sarjana (Master) pula. Aku bercadang untuk membuat proposal mengenai hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Indonesia dalam sukan bola sepak. Semoga tajuk yang dibentang akan diterima kelak. 

Akhir kata, aku cukup bersyukur dapat mengenali orang-orang yang mempunyai pengetahuan dalam sukan bola sepak. Hal ini banyak membantu aku untuk mengenali dan memahami minat aku terhadap bola sepak dengan mendalam. Walau apa pun minat anda, teruskan, ambil peluang dan meneroka dengan lebih mendalam dengan sebaiknya. 

photo6338995816634624393.jpg

Note from padangbolasepak.com: During the Restriction Movement Order 2020 Malaysia to combat Covid19 - Padangbolasepak.com encourages you from home to write essays about our beloved game of football. Can be anything. Why you fell in love with it? Your first game watching or playing? Friendships forged? Etc. Stars the limit. ⁣

500-1,000 / more words.⁣

The objective is simple. Sharing the joy of football. Challenge you to write about the joy you may want to share. As well as keep you occupied and encourage to write. Provided that you have nothing else to do.⁣ Email us your essay with a photo attached at contact@padangbolasepak.com & we’ll post on the website as well on social media.⁣

Thank you and take care brothers and sisters.