DI ANTARA NAZIM DIN DAN KANOUTE | #KaranganBolaSepak
Di Antara Nazim Din Dan Kanoute | #KaranganBolaSepak by Rizal Hashim
BAGI seorang wartawan akhbar atau pengamal media cetak, byline atau nama penulis yang tercatat mengiringi berita itu cukup penting.
Maklumlah, ia bukan akaun peribadi atau catatan dalam media sosial yang diiringi gambar tercomel pemiliknya.
Jika semua perenggan lengkap, cantik, ada latar belakang dan mudah difahami, eloklah untuk sang penulis.
Risikonya kalau tunggang-langgang, orang tahu siapa tulis!
Kisah bagaimana aku mendapat byline sulungku sukar aku lupakan.
Dalam tempoh selaku pelatih yang mengikuti Skim Latihan Kewartawanan New Straits Times Press (NSTP) atau PETS selama hampir enam bulan, latihan amali tentu diwajibkan.
Buat julung kalinya selepas dua bulan terperap dalam kelas, kami dibiarkan berkeliaran mencari bahan berita sekitar Kuala Lumpur. Aku bersama beberapa rakan yang lain memilih Jalan Chow Kit.
Kononnya lorong-lorong gelap di sekitarnya boleh dijadikan sumber bahan berita,
Pemudahcara kami Haji Nashrul’adin Abdul Rahman, yang juga ketua pengarang berita Berita Harian, menyuruh kami mencari bahan berita sebanyak mungkin. Beliau mahu kaji sama ada PETSIV pandai menghidu berita!
Dalam kegelapan malam, rezeki aku ditakdirkan terserempak dengan seorang pemain bola sepak!
Dari jauh aku lihat sosok yang sedang duduk di kerusi, menjalani sesi berbekam.
“Macam Nazim Din ni,” bisik hatiku.
Bagi budak KL, Nazim Din bukan asing waktu itu. Tegap dan kental, Nazim bek kiri yang membarisi kesebelasan pasukan warga kota itu di sisi V. Murugan, Chow Siew Yai, See Kim Seng, Zaid Jamil, Subadron Aziz, Zoran Nikolic, Miladin Kuc, K. Kannan, Saidin Osman, Lim Teong Kim dan Yap Wai Loon.
Aku bukan peminat tegar Kuala Lumpur tetapi sebagai seorang yang bercita-cita menjadi wartawan sukan, aku mengenali watak-watak yang mewarnai bola sepak tempatan menerusi pembacaan laporan sukan semua akhbar ketika itu.
Aku menegur Nazim dan seterusnya mengambil sedikit maklumat.
Aku tersenyum girang. Maklumlah dapat bekalan modal untuk dibawa ke kelas sedangkan kawan-kawan lain bergelut mencari bahan berita.
Aku kemudiannya diberitahu agar memaklumkan kepada pengarang sukan Berita Harian, Zian Johari (Allahyarham), bahawa aku ada bahan berita. Berita Nazim menjalani rawatan tradisional tersiar dalam BH bertarikh Jumaat, 13 September 1991. Friday the 13th! HAH!
Bukan senang wartawan pelatih hendak dapatkan byline!
Kisah ini juga mengingatkan aku bagaimana aku terserempak dengan bintang Mali kelahiran Perancis, Fredi Kanoute, 20 tahun kemudian.
Tempatnya dalam rumah Allah yang dianggap antara paling suci - Masjidil Haram!
Entah bagaimana dalam lautan manusia, bebola mataku tertumpu kepada dua lelaki – seorang berkulit hitam dan seorang lagi berkulit putih. Tanpa segan silu, aku bersama anakku dan anak saudaraku, mendekati mereka.
Kanoute sendiri terkejut apabila aku menegurnya. Responsnya “you know me?”.
Pengalaman bertentang mata dengan Kanoute aku kongsikan dalam lidah pengarang Rembat, iaitu sisipan khas untuk bola sepak yang diterbitkan secara mingguan oleh akhbar Kosmo. Aku pautkan dalam blog aku http://rizalhashim.blogspot.com/2011/08/bersama-kanoute-di-masjidil-haram.html
Jurang waktu 20 tahun di antara dua peristiwa itu sekadar menyedarkan aku bahawa rezeki dan sumber pendapatan aku terletak dalam sukan, terutama bola sepak. Aku sesungguhnya amat bertuah.
Note from padangbolasepak.com: During the Restriction Movement Order 2020 Malaysia to combat Covid19 - Padangbolasepak.com encourages you from home to write essays about our beloved game of football. Can be anything. Why you fell in love with it? Your first game watching or playing? Friendships forged? Etc. Stars the limit.
500-1,000 / more words.
The objective is simple. Sharing the joy of football. Challenge you to write about the joy you may want to share. As well as keep you occupied and encourage to write. Provided that you have nothing else to do. Email us your essay with a photo attached at contact@padangbolasepak.com & we’ll post on the website as well on social media.
Thank you and take care brothers and sisters.