Pierluigi Collina | #KaranganBolaSepak

Pierluigi Collina | #KaranganBolaSepak by Firdaus Asraf

Pierluigi_Collina.jpg_1533141199.jpg

Sebelum Cristiano Ronaldo menjadi fenomena atau Lionel Messi mula ‘bersamba’ bersama Barcelona, Pierluigi Collina sudah terlebih dahulu menjadi ‘selebriti’ bola sepak.

Collina dilahirkan di Bologna, Itali. Ibunya seorang guru manakala bapanya bertugas di Kementerian Pertahanan Itali. Berbekalkan ketinggiannya, beliau bermula di posisi pertahanan tengah. Tetapi karier bola sepaknya hanya bertahan sehingga usia 17 tahun sebelum beliau diajak menyertai kursus pengadilan bola sepak. Sejak itu Collina tidak menoleh ke belakang lagi.

Terkenal dengan imej kepala botak dan renungan menggerunkan, ketegasan Collina barangkali lantaran tindakan biarawati di sekolah rendahnya. Biarawati tersebut akan mencubit pipi atau menarik telinga Collina setiap kali beliau melanggar peraturan. Disiplin dalam dirinya mula terbentuk selepas sekian lama ‘dihukum’ dan mempengaruhi gayanya di atas padang.

“Saya merupakan seorang lelaki yang menurut peraturan,” jelas Collina dalam satu sesi wawancara. “Mungkin ini hasil cara saya dibesarkan.”


Tetapi Collina bukanlah seorang narsisistik dan tidak bertimbang rasa. Adakalanya beliau turut berlembut dengan pemain. “Kita perlu memahami apa yang pemain rasa terutamanya bila mereka sedang ketinggalan dan tekanan memuncak”, kata Collina. Beliau turut belajar beberapa bahasa utama Eropah selain bahasa Itali untuk memudahkan komunikasi di atas padang.

Dalam satu sesi temubual bersama The Focus, enam bulan selepas persaraannya, Pengadil Terbaik Serie A sebanyak tujuh kali itu ditanya apakah pendapat beliau berkenaan kehadiran pembantu pengadil;

“Kebanyakan keputusan penting kini diambil oleh pembantu pengadil, khususnya ofsaid atau situasi terlindung yang mengganggu keputusan pengadil. Kehadiran pembantu ini mustahak kerana dia juga boleh memutuskan bola itu sudah melepasi garisan gol atau sebaliknya,” jawab Collina.

Kegilaan Collina terhadap menjaga prestasinya turut melibatkan pembantu pengadil yang ditugaskan bersamanya. Ketika Piala Dunia 2002, Collina ditugaskan mengadili pertemuan antara tuan rumah Jepun dan Turki. Graham Poll, pengadil Inggeris yang berperanan sebagai pengadil keempat menyaksikan ‘obsesi’ sebenar Collina. 

Menurut Poll, Collina memanggil ketiga-tiga pengadil termasuk dirinya untuk sesi pra-perlawanan. Beliau melukis kesebelasan utama Jepun dan Turki dan mengingatkan mereka “gaya permainan kedua-dua pasukan, siapa yang mungkin menyebabkan masalah dan apa yang perlu dijangkakan akan berlaku di tepi padang.”

Pierlugi Collina digeruni dan dihormati oleh kebanyakan pemain bola sepak ketika era kegemilangannya. Tetapi barangkali ada seorang pemain yang cukup ‘memusuhi’ pengadil Itali itu iaitu Oliver Kahn.

Collina menjadi pengadil ketika perlawanan akhir Piala Juara-Juara 1999 antara Bayern Munich dan Manchester United, di mana Ole Gunnar Solskjaer menjadi wira membolosi gawang Kahn di saat akhir.

Collina sekali lagi menjadi igauan legenda Jerman itu ketika Die Mannschaft tewas 1-0 kepada England pada Euro 2000 dan sekali lagi tewas 5-1 kepada England ketika kelayakan Piala Dunia 2002.

“Saya akui beliau (Collina) merupakan pengadil berkelas dunia, tetapi beliau tidak membawa sebarang tuah buat kami,” reaksi Oliver Kahn ketika mengetahui perlantikan Collina sebagai pengadil final Piala Dunia 2002. Kenyataan Kahn itu berasas apabila Ronaldo ‘mengamuk’ ketika final. Kahn melakukan beberapa kesilapan penting dan menyebabkan Jerman kempunan menjulang Piala Dunia. Selepas perlawanan berakhir, Collina dilihat cuba ‘memujuk’ Kahn yang sedih dengan mengusap kepala penjaga gol itu.

Dalam autobiografi The Rules of The Game, Collina menerangkan apa yang bermain di fikirannya ketika mengendali final Piala Dunia di Stadium Antarabangsa Yokohama. Selepas melayangkan dua kad kuning dalam sembilan minit pertama perlawanan, beliau terpaksa menjadi lebih bertolak ansur dan berlembut kerana tidak mahu perlawanan menjadi lebih ‘panas’ dan mencetuskan kontroversi.

Karier Pierluigi Collina berakhir pada 2005, selepas kontroversi beliau ditaja oleh syarikat gergasi automotif, Opel yang turut menaja AC Milan. Beliau dituduh mempunyai konflik kepentingan oleh Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC). Tuduhan itu membuatkan beliau ‘merajuk’ dan meletak jawatan sebagai pengadil Serie A, walaupun beberapa bulan sebelum itu FIGC menggubal peraturan umur maksimum pengadil sebagai tanda penghargaan kepada jasa Collina.

“Masyarakat harus percaya dengan pengadil. Apa yang terjadi ini buat saya tidak dapat tidur, bahkan malam sebelum final Piala Dunia pun tidur saya lebih nyenyak dan aman,” kata Collina ketika memutuskan persaraannya.

Dewasa ini, Collina bertugas di FIFA selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadilan dan membantu kajian serta perlaksanaan Pembantu Pengadil Video (VAR) di seluruh dunia.

Pierluigi Collina mungkin salah satu bakat bola sepak paling unggul yang dunia pernah saksikan. Boleh jadi setanding Pele ataupun Johan Cruyff tetapi di dalam liga dan dunianya yang tersendiri; sebagai pengadil terbaik sepanjang zaman.

Note from padangbolasepak.com: During the Restriction Movement Order 2021 Malaysia to combat Covid19 - Padangbolasepak.com encourages you from home to write essays about our beloved game of football. Can be anything. Why you fell in love with it? Your first game watching or playing? Friendships forged? Etc. Stars the limit. ⁣

500++ words.⁣

The objective is simple. Sharing the joy of football. Challenge you to write about the joy you may want to share. As well as keep you occupied and encourage to write. Provided that you have nothing else to do.⁣ Email us your essay with a photo attached at contact@padangbolasepak.com & we’ll post on the website as well on social media.⁣

Thank you and take care brothers and sisters.