Stadium dan Iklan
Sekiranya kita hadir ke stadium untuk menonton perlawanan bolasepak, perkara yang paling sinonim atau mudah kita terlihat selain hamparan padang yang luas bergaris putih ialah iklan.
Iklan atau pengiklanan, satu platform industri yang semakin cepat berkembang dan mampu meraih pulangan yang tidak dijangka angkanya dengan hanya sebuah paparan umum untuk menyampaikan atau menghebahkan sesuatu kandungan mahupun produk tertentu. Tetapi, iklan dan stadium adalah merupakan sesuatu yang bernilai tinggi dalam pasaran global.
Pelbagai syarikat besar dan tersohor masih berbelanja di industri pengiklanan walaupun telah kukuh dan stabil bertahun lamanya. Tetapi, apa yang membuatkan sesuatu syarikat sanggup mengeluarkan perbelanjaan hanya pada sebuah paparan pengiklanan? Dan bagaimana ianya boleh meyakinkan pada sesuatu syarikat untuk menempah ruang pengiklanan?
Persekitaran Malaysia
Bolasepak di Malaysia, saban tahun kita terlihat dada akhbar menyatakan sesebuah pasukan kekurangan dana untuk berbelanja pada tiap musim. Runsing bagaimana untuk mencari faktor kewangan, dan masih mengharapkan sesuatu syarikat datang menghulurkan beberapa jumlah tetapi tidak tahu apakah berbaloi dan apakah pulangan yang mampu diraih. Bagaimana untuk meyakinkan tiap RM1 itu bermanfaat kepada kedua-dua pihak.
Pasukan bolasepak Malaysia rata-rata masih mengamalkan konsep berpersatuan dalam membentuk pasukan, menyewa kemudahan stadium dan fasiliti, ini menunjukkan aliran kewangan terlalu banyak dikeluarkan tanpa ketahui dengan jelas berapakah jumlah nilai yang mampu diraih semula berlandaskan kejohanan yang terlibat. Masih mengharapkan hadiah kejuaraan sebagai punca kewangan utama untuk diraih selain penglibatan syarikat besar atau tokoh politik menyuntik dana saban musim.
Setiap keping tiket perlawanan bola, ada pecahan-pecahan pada pihak tertentu terbahagi kepada penganjur liga, badan atau entiti bolasepak, kemudian pemilik stadium, dan barulah kepada pasukan itu sendiri. Justeru, apakah mereka sedar bahawa industry pengiklanan ini juga mampu menghasilkan kewangan kepada kelab-kelab yang ada?
Sekiranya di stadium bercirikan tempat duduk terbuka, tiada nombor pada tiap kerusi atau bebas, juga mampu menarik tumpuan pengiklanan. Bagaimana untuk membentangkan pada sesebuah organisasi atau syarikat untuk berbelanja pada ruang iklan yang disediakan? Apakah faktor yang mampu mereka sanggup berbelanja dan apakah pulangan pada pihak mereka?
Sistem tiket dan tempat duduk bernombor adalah suatu system yang paling efektif dalam usaha menarik pelabur untuk berbelanja pada ruang iklan yang ada ini kerana terdapat satu struktur yang jelas yang mampu memberi pulangan.
Data dan Statistik
Sekiranya pihak stadium memperbaiki struktur tempat duduk yang dibahagikan kepada zon-zon tertentu, dan pengasingan tempat duduk bercirikan sesuatu jenis penonton (zon warga emas misalnya), ia adalah lubuk pada data pemilikan anda. Menjelang hari perlawanan, setiap tiket yang dijual akan tercatat pada simpanan data anda, dengan itu kita boleh ketahui beberapa kerapkah tempat duduk itu sentiasa terjual dan dipenuhi dalam satu zon, jenis penonton di zon-zon yang ada. Dengan data tersebut anda boleh membentangkan kepada organisasi atau syarikat berapa jumlah secara purata dalam perlawanan penonton yang ada akan melihat ruang iklan tersebut.
Kesimpulan
Untuk menjual ruangan iklan tidaklah semudah yang kita sangkakan, ia melibatkan banyak faktor dan juga perkara yang mampu meyakinkan kepada pelabur. Khususnya, seperti syarikat yang menghasilkan produk, mereka memerlukan “responsive number” pada tiap pembelian ruangan iklan selain pengukuhan jenama dan pasaran tempatan. Kunci kepada faktor tersebut adalah memiliki sistem data dan statistik yang kukuh yang berkaitan dengan hanya struktur tempat duduk di stadium sahaja.