Aku nak juga, aku nak juga! | #KaranganBolaSepak
Aku nak juga, aku nak juga! | #KaranganBolaSepak by Nazreen Izahar
Ketika ditanya oleh keluarga sewaktu kecil apakah cita-cita yang hendak aku capai apabila dewasa, aku katakan ingin menjadi ahli bomba, posmen (betul tak tipu!) dan juga ahli sukan. Namun begitu, dilahirkan dalam keluarga yang begitu pentingkan kecemerlangan akademik berbanding sukan, ditambah pula dibesarkan dalam keluarga yang didominasi oleh kaum Hawa, membuatkan aku turut sedikit sebanyak dididik dengan cara seorang anak perempuan dibesarkan dan bukannya lelaki. Dari perspektif mereka, sukan itu hal yang tidak penting, apa yang lebih mustahak adalah pencapaian yang aku dapat setiap kali peperiksaan berlangsung. Sebagai seseorang yang bukannya handal dalam gelanggang ilmu, aku sering tertekan kerana tidak mampu berikan keputusan yang memuaskan.
Aku sangat sukakan bola sepak, malah cintakan ia. Ketika di zaman sekolah rendah, aku sering bermain bersama teman-teman seperti kanak-kanak yang lain. Tetapi, memasuki sekolah menengah, aku dengan bola sepak semakin jauh. Keluarga seolah tidak merestui hubungan aku dengan bola sepak. Mereka tidak mahu aku sesekali cuba untuk serius bermain bola sepak sehingga mewakili sekolah ke peringkat daerah, kemudian ke peringkat kebangsaan seterusnya menjadikan ianya karier. Walaupun itu adalah impian setiap diantara kita, tetapi aku tidak pernah terfikir untuk jadikan pemain bola sepak sebagai profesion, sebaliknya aku cuma mahu menikmatinya sebagai orang biasa, yang mencintai sukan ini. Lebih malang, aku dikelilingi oleh rakan-rakan yang 10, 20 malah 30 kali lebih bagus berbanding aku dalam hal bermain bola sepak. Ini membuatkan aku memilih untuk mengubah haluan mencuba sukan lain pula seperti bola keranjang dan tenis. Aku mungkin sudah jauh daripada padang bola sepak, tetapi ketahuilah dalam diriku cinta itu masih lagi ada. Aku nak juga terlibat dalam bola sepak walau macam mana sekalipun. Aku nak juga!
Pada usiaku 16 tahun, aku mula sedar yang aku begitu gemar akan bidang pengulasan bola sepak, jadi aku selalu melakukan ulasan sambil bermain permainan Pro Evolution Soccer (PES) seorang diri di dalam bilik. Aku juga sudah mula berjinak dengan dunia menulis blog, masa itu aku ada blog peribadi yang seingat aku ianya cuma tempat aku menulis perkara yang mengarut yang bermain di fikiran aku ketika itu. Haha!
Aku mula beranikan diri menulis mengenai bola sepak di blog peribadi aku sewaktu melakukan diploma di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Salah satu tugasan subjek aku adalah perlu melakukan satu entri di blog masing-masing setiap minggu, apa yang aku lakukan adalah aku menulis laporan mingguan Liga Super 2013 pada ketika itu sebagai entri kepada blog aku. Cinta aku kepada bola sepak tidak pernah mati, cuma aku sudah jumpa jalan yang lain untuk zahirkan rasa cinta itu, cara baharu untuk sentiasa dekat dengan cinta hatiku ini.
Maju ke hari ini, aku kini menjadi editor di salah sebuah portal bola sepak utama negara iaitu Semuanya BOLA, aku berjaya kembali dekat dengan bola sepak menerusi bidang penulisan yang aku sudah pupuk sejak di bangku sekolah lagi. Selain itu, aku juga berjaya menjadi pengulas di Balrz.tv dan kini semakin dekat dengan bola sepak yang aku cinta. Daripada mengulas seorang diri dalam bilik sambil bermain PES, kini aku mengulas pemain-pemain sebenar yang beraksi di stadium. Berani untuk aku katakan, aku dan bola sepak sudah kembali bersama dan kali ini untuk tempoh yang lebih lama, seandainya Tuhan mengizinkan.
Apa pun, aku tetap bersyukur diberikan peluang oleh Maha Esa untuk melakukan perkara yang aku suka selama ini. Aku sedar diri aku tidak cukup bagus untuk bermain secara profesional, tetapi cinta aku kepada bola sepak tidak pernah mati. Aku sering katakan kepada diri aku yang aku berasa tidak cukup seandainya aku hanya menjadi penyokong biasa kepada permainan yang indah ini, aku nak juga jadi lebih daripada itu. Biarlah sebagai pengadil, jurulatih, wartawan atau pun pengulas, aku nak juga, aku nak juga!
-Nazreen Izahar-
Note from padangbolasepak.com: During the Restriction Movement Order 2020 Malaysia to combat Covid19 - Padangbolasepak.com encourages you from home to write essays about our beloved game of football. Can be anything. Why you fell in love with it? Your first game watching or playing? Friendships forged? Etc. Stars the limit.
500-1,000 / more words.
The objective is simple. Sharing the joy of football. Challenge you to write about the joy you may want to share. As well as keep you occupied and encourage to write. Provided that you have nothing else to do. Email us your essay with a photo attached at contact@padangbolasepak.com & we’ll post on the website as well on social media.
Thank you and take care brothers and sisters.