Rokok John dan Kelantan | #KaranganBolaSepak
Rokok John dan Kelantan | #KaranganBolaSepak by Firdaus Musa
Deretan rumah kedai dan susunan kereta pulang petang adalah antara pemandangan aku di waktu kecil membesar di Berek 12, Kota Bharu. Kehidupan seorang anak saudagar marhaen (ayah punyai sebuah kedai letrik dan kedai runcit di deret yang sama) membuka ruang untuk aku berjabat jual dengan pelbagai lapisan masyarakat dari kenamaan sehingga kepada orang Bahagia (hospital sakit jiwa berada berdekatan dengan kedai aku)
Laluan kedai aku adalah antara laluan utama ke Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu dan boleh dikatakan dekat dengan stadium kerana jelas kelihatan lampu limpah stadium dari kedai aku. Setiap “matchday” melibatkan pasukan Kelantan, pasti riuh jalanan dengan kumpulan manusia pelbagai wajah membawa “akidah” bolasepak yang sama. Segenap segi dimerahkan oleh manusia -manusia yang cintakan permainan ini termasuklah aku. Panji merah dipacak di basikal dan motor, dikibar melalui tingkap belakang kereta menzahirkan kecintaan pada Kijang Merah. Ayah sentiasa memberi lampu hijau untuk aku menamatkan shift awal supaya sempat aku menyertai “demonstrasi halal” ke stadium.
Hampir licin stok rokok Dunhill, Winston dan John di borong sebelum ke stadium. Berdasarkan pemerhatian aku, asap rokok sangat penting pada sesetengah penyokong terutama ketika ketinggalan separuh masa 2-0 kepada pasukan jiran seperti Terengganu. Makian disulami hembusan asap antara pertunjukan percuma yang dapat aku tonton dengan tiket berharga dua belas ringgit.
Seawal jam 6 sudah ada yang masuk untuk mendapatkan “hotseat” dalam stadium berkapasiti 30 ribu ini (kebiasaannya overflow sehingga ada yang berdiri di pagar). Hotseat kebiasaannya ditanda dengan kuaci, botol air, bendera atau sahabat yang setia tidak berganjak walaupun mendengar azan. Kebiasaan jam 8, pemain akan mula memanaskan badan diringi jeritan penyokong yang memanggil nama seperti Indra, Piya, Ghaddar dan Mat Yo. Jeritan itu kadang bertukar sedikit kasar jika pemain tidak mengendahkan jeritan tersebut.
Gendang “Abe Harun” dan “Kota Bharu Wave” mengiringi perarakan masuk pemain – pemain kedalam padang. Fullhouse + energy yang disalurkan penyokong sentiasa digunakan pemain-pemain untuk cepat “naik syeikh” dan settle down dalam permainan. Aku seperti biasa tajam mememerhati dan terpesona dengan gelecekan Sembilan kesayangan ambo, Mat Yo. Helah dan gerak tubuh “The Linesman” sentiasa menghadirkan kata kata seperti “Gi lagi Yo, Gi lagi Yo” dari mulut -mulut jurulatih tanpa lesen di bangku penonoton. Setiap gol diraikan meriah terkadang terlebih emosi sehingga ada balingan mercun yang pastinya mencemaskan polis – polis yang menjaga keselamatan. Menang dipuji sehingga langit ke tujuh, kalah dimaki berkontena sehingga pemain takut nak buka Facebook. “This Is Kota Bharu” sememangnya sebuah kota yang sangat digeruni lawan (suatu masa dulu lah ). Takdir Tuhan yang cantik dan pasti aku kenangi sampai bila – bila
2020, kini aku di kerusi yang berbeza. Dahulu di bangku penonton terbuka, kini di bilik media penuh wayar dan monitor. Kerusi baru yang sangat berbeza dan mencabar. Kerusi yang sentiasa memaksa aku bereksperimen dalam menzahirkan pengulasan kepada penonton . Masih hijau dalam dunia pengulasan dan masih terlalu banyak pemandangan yang perlu aku hadami. Terima kasih bola sepak Malaysia kerana masih terus memberi ruang dan peluang kepada aku untuk berkarya dalam bidang pengulasan.
Lekas kembali Bola Sepak. Kami sangat merinduimu
Wherever you are, whatever you do, be in Love – Rumi
Firdaus Musa
Note from padangbolasepak.com: During the Restriction Movement Order 2020 Malaysia to combat Covid19 - Padangbolasepak.com encourages you from home to write essays about our beloved game of football. Can be anything. Why you fell in love with it? Your first game watching or playing? Friendships forged? Etc. Stars the limit.
500-1,000 / more words.
The objective is simple. Sharing the joy of football. Challenge you to write about the joy you may want to share. As well as keep you occupied and encourage to write. Provided that you have nothing else to do. Email us your essay with a photo attached at contact@padangbolasepak.com & we’ll post on the website as well on social media.
Thank you and take care brothers and sisters.