DULU DAN KINI | #KaranganBolaSepak

DULU DAN KINI | #KaranganBolaSepak by Izham Norisman

Aku mula mengenali dan jatuh cinta dengan bola sepak sejak umur 7 tahun. Sebelum itu aku tak pernah sama sekali menyepak bola. Kali pertama bermain aku terus jatuh cinta. Main bawah panas pun aku tak peduli. Sejak dari itu aku terus gilakan bola sepak.

Aku rindukan masa kecil aku dahulu bersama dengan bola sepak. Dahulu, boleh kata hampir setiap hari aku akan bermain bola dengan rakan sepermainan aku di sekitar rumah flat yang aku tinggal. Kami hanya bermain dengan berkaki ayam sahaja. Habis saja waktu sekolah agama sekitar 5.30 petang, maka aku akan cepat pulang ke rumah, menukar baju dan terus menuju ke padang bola untuk bermain. Masuk ke pukul 6.30 petang, padang dah semakin penuh, masuk pula abang-abang dan pak cik-pak cik yang menguasai padang menyuruh kami yang kecil-kecil ini bermain di tepi padang. Sehinggakan sampai tersepak bola yang dimainkan orang dewasa tersebut. 

Tetapi, hari ini juga akan ada sekumpulan anak-anak kecil akan memenuhkan padang, mungkin tak sekerap macam zaman kecil aku dulu dan aku turut sama bermain bersama mereka. Mereka tak perlu berebut dengan orang dewasa, kerana padang yang ada sekarang milik mereka. Aku jadi lagi bangga apabila melihatkan anak-anak ini jadi lebih berbakat dari aku. Aku dah tak fikir nak buat gol seorang diri, aku lagi puas apabila aku dapat menghantar bola kepada mereka, dan gunakan bakat yang mereka ada untuk menjaringkan gol. Bagi aku itu satu kepuasan, sekurang-kurangnya sukan ini tak akan mati apabila terus ada bakat-bakat baru yang akan dilahirkan. 

Begitu juga apabila berkumpul dengan sepupu aku di kampung. Aktiviti yang wajib dilakukan pada waktu petang ialah bermain bola. Semua cucu lelaki uwan aku akan bermain bersama-sama walaupun ada yang kaki bangku. Dua batang pokok pisang, dan di sebelah sana pula dua buah selipar akan menjadi tiang gol. Lalu, bermainlah kami sehingga azan Maghrib berbunyi tanda permainan perlu ditamatkan.

Kami semua pun dah meningkat dewasa. Apa yang lebih membanggakan, ada sepupu aku yang bermain bola sepak sehingga ke taraf profesional, bermain di Liga Super untuk UiTM FC dan juga pernah menyarung jersi pasukan Negeri Sembilan. Aku jadi bangga bila mengenangkan yang kami pernah main bersama-sama di laman rumah uwan aku. Padahal pada aku kami semua sama-sama handal. 

Gila aku pada bola sepak, sehinggakan aku tak kisah langsung berjaga malam untuk menonton bola sepak antarabangsa pada waktu tengah malam. Tak ada rasa mengantuk di sekolah pada keesokannya. Apa saja perlawanan yang ada di televisyen pada waktu itu aku akan tonton walaupun bukan pasukan yang aku minat.

Lain pula pada waktu sekarang, aku agak berkira untuk memilih perlawanan yang aku akan tonton. Takut esok di tempat kerja aku akan mengantuk dan tak boleh berfikir. Kadang-kadang aku hanya menonton highlight yang ada di youtube atau televisyen. Sampaikan aku dah tak terkejar dengan bintang-bintang baru bola sepak antarabangsa pada waktu ini. 

Dulu, masa zaman sekolah, aku hanya akan dapat ke stadium apabila ayah aku sudi membawa aku ke stadium. Pada aku, itu saat yang menggembirakan, lebih-lebih lagi itu zaman kemuncak pasukan kesayangan aku, Negeri Sembilan. Pada waktu itu, Negeri Sembilan menggegar arena bola sepak tempatan dengan menjuarai Liga Super pada tahun 2006. Kalau boleh, setiap minggu nak pergi stadium, dan masa itulah aku mula gilakan kemeriahan di stadium.

Sekarang, aku dah tak perlu tunggu ayah aku bawa aku ke stadium. Aku boleh memandu sendiri ke stadium. Kadang-kadang aku pergi seorang diri. Di kala pasukan Negeri Sembilan terus merosot aku masih setia menyokong walaupun stadium makin jadi sunyi sepi. Kerana bagi aku, itulah cinta, aku terima Negeri Sembilan seadanya walaupun kadang kala mengamuk juga apabila kalah. Tapi, mengamuk itu reda juga, perlawanan seterusnya pergi lagi dan terus berharap. 

Aku sudah semakin dewasa, tapi cinta aku pada bola sepak tak pernah pudar walaupun kadang-kadang aku agak sedikit berkira. Aku tak sabar-sabar nak mempunyai seorang anak lelaki, dan bagi dia merasai pengalaman aku dengan bola sepak sama atau lebih dari apa yang aku rasa dulu. Pengalaman manis ini akan buat bola sepak itu akan terus hidup. Bola sepak itu akan terus hidup, dulu, kini dan selamanya. 

IMG_20191208_180544.jpg

Note from padangbolasepak.com: During the Restriction Movement Order 2020 Malaysia to combat Covid19 - Padangbolasepak.com encourages you from home to write essays about our beloved game of football. Can be anything. Why you fell in love with it? Your first game watching or playing? Friendships forged? Etc. Stars the limit. ⁣

500-1,000 / more words.⁣

The objective is simple. Sharing the joy of football. Challenge you to write about the joy you may want to share. As well as keep you occupied and encourage to write. Provided that you have nothing else to do.⁣ Email us your essay with a photo attached at contact@padangbolasepak.com & we’ll post on the website as well on social media.⁣

Thank you and take care brothers and sisters.