Kali Pertama | #KaranganBolaSepak
Kali Pertama | #KaranganBolaSepak by Ahmad Muzakkir
Coretan aku untuk karangan kali ini lebih “straight forward” dan lebih mudah untuk difahami dan juga mudah untuk ditulis oleh aku.
Apabila aku dijemput oleh Padang Bola Sepak untuk menulis sebuah karangan yang bertopikkan bola sepak sama ada kisah mengenai pertama kali kau jatuh cinta dengan bola sepak, kali pertama menonton atau bermain bola sepak, persahabatan terjalin melalui bola sepak dan sebagainya asalkan ia berkait dengan sukan nombor satu dunia iaitu bola sepak.
Jadi di sini aku ingin coretkan kepada pembaca semua bagaimanakah pengalaman aku sewaktu melihat perlawanan bola sepak di stadium buat kali pertama.
Meskipun aku merupakan anak kelahiran negeri Perak Darul Ridzuan dan juga pernah bekerja selaku pereka kandungan (Content Creator) di Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), namun stadium pertama yang aku jejaki bukanlah Stadium Ipoh mahupun Stadium Shah Alam.
Stadium pertama yang aku jejaki adalah Stadium Darul Aman di mana pada ketika itu bapa saudara aku yang menetap di Alor Setar membawa aku untuk menyaksikan perlawanan bola sepak yang pertama di stadium.
Pada ketika itu aku masih lagi kecil. Masih lagi bersekolah rendah.
Segalanya bermula apabila seluruh keluarga aku dan juga keluarga bapa saudara aku bercuti di Pualau Langkawi selama empat hari tiga malam.
Sebaik sahaja tamat percutian tersebut, kami terus pulang ke Alor Setar untuk bermalam seketika di rumah bapa saudara aku sebelum pulang ke Taiping pada keesokan harinya.
Benarlah kata ulama, Allah itu adalah sebaik-baik perancang.
Kebetulan pula pada malam itu berlangsung perlawanan bola sepak di Stadium Darul Aman dan tanpa membuang masa, bapa saudara aku terus meminta izin emak aku untuk membawa aku ke stadium.
Meskipun emak aku pada ketika itu agak sedikit berat untuk memberikan kebenaran, namun dek pujukan bapa saudara aku yang begitu manis sambil memberikan jaminan bahawa dia aku tidak akan diculik, akhirnya kebenaran diberikan
Dengan penuh kegembiraan dan penuh keterujaan, aku menaiki kereta Honda Civic Jerung milik bapa saudara aku dan juga beberapa orang sepupu aku ke Stadium Darul Aman.
Yang lebih menarik, perlawanan pada ketika itu menemukan pasukan Lang Merah menentang pasukan Seladang.
Ya. Perlawanan diantara pasukan kegemaran aku sewaktu kecil dan pasukan negeri kelahiran emak aku, bapa saudara aku dan juga sepupu aku yang lain.
Sudah pasti aku yang yang hanya seorang sahaja penyokong Perak, terpaksa akur dengan kehendak bapa saudara dan sepupu aku untuk duduk di bahagian penyokong Kedah.
Namun itu tidak menghalang aku untuk menyorak sekuat hati apabila Khalid Jamlus menjaringkan gol pertama Perak sehingga ditegur suruh diam oleh penyokong Kedah yang 20 tahun lebih tua daripada aku.
"Dik, lebih baik hang duk diam. Satgi depa semua mai tibai hang baghu hang tau", kata beliau yang baran melihat Kedah ketinggalan dan lebih baran melihat aku menyorak bagaikan tiada hari esok.
Namun perlawanan tersebut tamat dengan keputuan 2-1 berpihak kepada pasukan Kedah selepas pemain import kesayangan mereka, Marlon Alex James bermain begitu cemerlang untuk mengalahkan Perak pada ketika itu.
Sudah pasti penyokong Kedah yang 20 tahun lebih tua daripada aku pada ketika itu melompat kegembiraan sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan.
Namun aku sedikit pun tidak kecewa pada ketika itu meskipun Perak gagal meraih tiga mata kerana aku puas untuk hadir dan menyaksikan adiwira aku yang sering aku laung nama mereka di kaca televisyen, bermain betul-betul di hadapan mata aku.
Pada malam itu, aku tidur dengan hari yang begitu gembira dan ia adalah pengalaman yang sukar untuk aku zahirkan dan begitulah kisah bagaimana pengalaman aku melihat perlawanan bola sepak di stadium.
Note from padangbolasepak.com: During the Restriction Movement Order 2020 Malaysia to combat Covid19 - Padangbolasepak.com encourages you from home to write essays about our beloved game of football. Can be anything. Why you fell in love with it? Your first game watching or playing? Friendships forged? Etc. Stars the limit.
500-1,000 / more words.
The objective is simple. Sharing the joy of football. Challenge you to write about the joy you may want to share. As well as keep you occupied and encourage to write. Provided that you have nothing else to do. Email us your essay with a photo attached at contact@padangbolasepak.com & we’ll post on the website as well on social media.
Thank you and take care brothers and sisters.