Macam Terlepas Banyak Tapi Sebenarnya Banyak Lagi Untuk Kita | #KaranganBolaSepak
Macam Terlepas Banyak Tapi Sebenarnya Banyak Lagi Untuk Kita | #KaranganBolaSepak By Boestamam
Kalau nak dibuat cerita, aku ni memang boleh dikatakan seorang yang meminati bolasepak. Bermula dari sekolah menengah lagi, mesti takkan terlepas dari ambil tahu perkembangan semasa pasukan di hati, Arsenal FC. Memang betul apa yang orang cakap pasal Bola sepak, “it’s a beautiful game”. Asal ada perlawanan EPL atau liga juara juara dekat tv, sanggup bersengkang mata tengok tv pada larut malam atau awal pagi. Sampaikan Ayah pun tahu kenapa pergi sekolah dengan mata panda.
Waktu ni, aku masih lagi belum didedahkan dengan bolasepak tempatan. Kalau ada pun dari perlawanan persahabatan pra-musim antara pasukan Malaysia menentang pasukan EPL. Selain dari perlawanan ni, aku macam katak bawah tempurung pasal bolasepak tempatan. Yang aku tahu, Negeri Sembilan tewaskan Kelantan dan menang Piala Malaysia tahun 2009, Selangor julang trofi liga super tahun berikutnya.
Jujur aku cakap, mentaliti dan persepsi aku terhadap bolasepak tempatan memang berbeza dari apa yang aku rasa sekarang. Dulu, kalau ditanya kenapa boleh “bermati matian” sokong Arsenal tapi bukan Bolasepak kita, aku selalu jawab liga kita tak meriah, EPL lagi popularlah. Tapi ada satu peristiwa pada tahun 2010 yang sedikit sebanyak membuka hati untuk ambil tahu pasal bola Malaysia.
Piala AFF Suzuki 2010 sedang berlangsung dan aku menyambung pelajaran di peringkat matrikulasi. Bilik TV yang menjadi tempat kebiasaan untuk aku menelaah mulai meriah dengan rakan rakan yang kemaruk dahagakan aksi pemain kegemaran mereka. Yang dari Selangor nak tengok Safee Sali, geng geng pantai timur pula teruja melihat Ashaari Samsudin dan Nor Shahrul Idlan Talaha. Kita bermula dengan langkah sumbang, tewas 5-1 dalam perlawanan pertama di Gelanggang Olahraga Bung Karno di tangan seteru sejak azali, Indonesia.
Dalam detik suram ini, aku sangkakan sokongan kepada pasukan Harimau Malaya dari rakan rakan blok B5 semakin layu. Tidak, makin ramai yang terpacak depan televisyen menyokong dari belakang biarpun menghadap kaca tv. Entah macam mana nak huraikan tapi, aku dapat rasa jiwa sokongan yang penuh tulen datang dari setiap orang yang tengah tengok depan tv tu. Kita lepas ke pusingan kalah mati dan berdepan Vietnam dalam perlawanan separuh akhir. kita menang dengan agregat 2-0 untuk bertemu Indonesia sekali lagi di perlawanan akhir. Buat pertama kali, aku tertambat dengan Harimau Malaya.
Aksi timbal balik pertama menentang musuh seberang selat Melaka adalah di Stadium Nasional Bukit Jalil. Dari pengulas sukan, penyokong di Stadium sampailah ke rakan rakan blok asrama, semuanya membuak buak dengan keghairahan. Perasaan bercampur baur dalam hati aku sepanjang perlawanan berlangsung. Rasa teruja, gembira, gila, semua ada seperti nasi kandar sepinggan lengkap. Disebabkan siran tv ada “delay”, blok lain yang lebih depan akan tahu dahulu keputusanya. Jadi, setiap kali Malaysia menjaringkan gol, teriak dan jeritan penuh riang itu datang menyambut setiap blok satu persatu. untuk seketika, satu bilik tv riuh sehingga suara dari speaker tv tenggelam dengan jeritan penyokong belakang tv.
Perlawanan timbal balik kedua di Indonesia, kita disajikan dengan drama luar padang lagi lagi cerita layanan penyokong tuan rumah kepada pasukan harimau Malaya sampai berlakunya insiden “naik kereta perisai”. Dari situlah timbul sedikit rasa “perseteruan” dalam bolasepak dengan Indonesia. Walaupun tewas 2-1, Malaysia dinobatkan sebagai pemenang Piala AFF Suzuki edisi 2010. Bagi aku, memang puas rasanya melihat Malaysia menang walaupun secara agregat 4-2 keatas Indonesia. Rasa kepuasan itu bertambah manis lebih lebih lagi apabila edisi 2010 tersebut, Indonesia dan Vietnam menjadi tuan rumah bersama. Tahun 2011, kita menang sekali lagi keatas Indonesia dalam sukan SEA sekaligus merangkul pingat emas di bumi Indonesia. Gila tak gila menang dua kali dengan Sang Garuda dekat bumi Indonesia, mungkin sebab berkat naik “Barracuda”.
2010, Itulah kali pertama aku jatuh cinta dengan Harimau Malaya, dan berseteru dengan Indonesia di atas padang bolasepak. Sedikit sebanyak aku beralih haluan untuk mula ambil tahu tentang bolasepak tempatan bersama Selangor. “Fast forward” ke sukan SEA 2017, khususnya perlawanan separuh akhir menentang seteru azali sekali lagi, Indonesia. Ada benarnya kata kawan kawan yang selalu ke stadium. “Bob, tak tipu Bob. Feeling dia lain kalau tengok dekat tv dengan turun stadium”. Termakan pujukan dan bisikan halus rakan, aku tumpang sekaki juga turun ke Stadium Shah Alam.
Jam 6 petang, perkarangan stadium dah mula sesak dengan puluhan ribu penyokong tuan rumah dan Indonesia. Rasa euforia sudah semakin dikemuncak yang kemudianya tak dapat dibendung sebaik lagu Negaraku berkumandang. Rasa kagum dan bangga makin menebal bila melihat gelagat penyokong kita. Sepanjang permainan, kau boleh tengok satu stadium ikut sorak Ultras Malaya, terjengket jengket dari tempat duduk bila Thanabalan tanduk sipi sipi nak masuk gol dan Safawi lari deras lincah dekat bahagian sayap. Yang pasti minit ke -85, déjà vu membawa aku balik ketahun 2010 dalam bilik tv dekat blok asrama matrikulasi. Hero kalau dalam filem pun mestilah keluar hujung hujung kan?. Thanabalan menanduk masuk bola dari sepakan percuma untuk kita tempah tiket ke final menentang Thailand. Satu stadium bersorak gegak gempita bagai nak runtuh dinding Stadium Shah Alam. dan waktu tu, tiada rasa kekok pun untuk meraikan gol kemenangan dengan orang lain.
Dari situ aku sedar yang, siapa nak sokong bolasepak kita kalau bukan kita sendiri. Siapa nak sokong Harimau Malaya kalau bukan kita sendiri. Berbalik ke masa kini, aku cuba untuk jadi penyokong yang sayangkan bolasepak kita. Setiap cinta pandang pertama mesti ada detik pertemuan yang manis. Macam tulah aku dengan Selangor dan Harimau Malaya. Dalam bolasepak, ada menang ada seri ada kalah, saling tak tumpah macam manis pahit percintaan. Bak kata Ahmad Fakri Saarani, “Kalau bola tu dah tak nak masuk, buat macam mana pun tetap tak akan masuk”. Akhir coretan ini, aku nak ajak korang untuk sokong bola sepak tempatan. Walaupun korang rasa macam terlepas banyak tapi sebenarnya ada banyak lagi untuk kita.
Note from padangbolasepak.com: During the Restriction Movement Order 2020 Malaysia to combat Covid19 - Padangbolasepak.com encourages you from home to write essays about our beloved game of football. Can be anything. Why you fell in love with it? Your first game watching or playing? Friendships forged? Etc. Stars the limit.
500-1,000 / more words.
The objective is simple. Sharing the joy of football. Challenge you to write about the joy you may want to share. As well as keep you occupied and encourage to write. Provided that you have nothing else to do. Email us your essay with a photo attached at contact@padangbolasepak.com & we’ll post on the website as well on social media.
Thank you and take care brothers and sisters.