Angan-Angan Jadi Impian, Impian Jadi Cita-Cita | #KaranganBolaSepak
Angan-Angan Jadi Impian, Impian Jadi Cita-Cita | #KaranganBolaSepak by Wan Khairil Azwa
Jika anda punya minat, keghairahan, pasti anda akan berusaha untuk mencapai cita-cita anda bukan? Ingin aku kongsikan sedikit sebanyak pengalaman aku yang ku bangga-banggakan, yang ku kenang, yang akan ku ceritakan dekat anak cucu kelak. Lahir dengan susuk tubuh yang kecil, bersekolah pula di kawasan pendalaman, agak sukar untuk untuk aku menempatkan diri dalam sukan bola sepak ini. Dengan ketika itu pula bukannya seperti sekarang, penuh dengan kemudahan, petik jari sahaja.
Sekitar tahun 2006-2008, waktu ketika aku cuba untuk menonjolkan sedikit sebanyak bakat di dalam sukan bola sepak. Namun, tiada siapa yang memandang akan tubuh kerdil ini. Lahir di negeri sang penyu, perjalanan karier sebagai pemain bola sepak di peringkat sekolah terhenti setakat itu sahaja. Lambakan bakat-bakat di negeri Terengganu, di samping kurangnya pendedahan yang sebetulnya, aku hanya mampu bermain di peringkat sekolah sahaja. Empat tahun selepas itu, seakan ada peluang yang menanti aku setelah melanjutkan pelajaran di Uitm Shah Alam.
Bermula dengan mewakili fakulti untuk bermain dalam liga dalaman, perlahan-lahan aku cuba mencipta nama di kalangan jurulatih di uitm ketika itu. Secara peringkat demi peringkat aku berjaya untuk masuk ke dalam kelompok pemain-pemain elit dan akhirnya berjaya untuk meletakkan diri aku dalam peringkat tertinggi di dalam karier aku sebagai pemain bola sepak. Menjadi pemain professional untuk saingan liga perdana pada tahun 2016 merupakan kemuncak segala-galanya untuk aku dalam sukan ini. Tidak pernah terdetik dalam diri aku untuk menjadi pemain bola sepak professional.
Namun begitu, segalanya bukan manis pada awalnya. Rasa kekecewaan apabila sering dihimpit kecederaan, tidak mampu bersaing dengan pemain-pemain lain yang jauh lebih hebat, yang mempunyai asas yang cukup dalam bola sepak. Selang beberapa bulan, aku mula berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan. Sesi latihan juga aku mula berjaya untuk ‘bersama’ rakan-rakan yang lain. Tahap kecergasan sudah aku capai semaksima mungkin dan aku mula berfikir “mungkin sudah tiba masanya”.
Masih aku ingat lagi ketika aku, pasukan sedang mengalami prestasi yang cukup membimbangkan. Berada di kelompok bawahan dan ketika itu tiada seorang pun lagi pemain tempatan dalam pasukan yang berjaya menghasilkan gol. Ketika itu juga, masih aku ingat ramai sekali yang sedang mengalami kecederaan. Ketika itu jugalah peluang aku muncul untuk membuat debut di dalam saingan liga. Dua peluang awal telah diberikan oleh jurulatih kepada aku, satu ketika masuk selaku pemain gantian di saat sudah ketinggalan 4-0 dan satu lagi peluang hadir dengan aku sebagai pemain utama.
Peluang ketiga adalah kemuncak segala-galanya, diberikan sekali lagi mandat untuk mengemudi barisan hadapan bersama seorang lagi penyerang import, Stadium Tunku Abdul Rahman Paroi menjadi saksi. 2 gol berjaya aku jaringkan pada malam itu walaupun tewas 4-2, namun malam itu segalanya seperti magik, sebab aku betul-betul bermula dari bawah. Kutukan, cacian, herdikan namun akhirnya aku berjaya membuktikan sesuatu. Pemain tempatan pertama yang berjaya menjaringkan gol untuk pasukan ketika itu.
Sekarang aku kembali kepada dunia realiti, kecederaan dan masa depan yang aku fikirkan membuatkan aku mengambil keputusan untuk berhenti daripada dunia bola sepak professional. Namun, kini aku kembali sebagai satu watak yang lain pula. Dari satu sisi yang cukup berbeza iaitu selaku pengulas bola sepak. Sama seperti perjalanan aku sebagai pemain bola sepak. Selaku pengulas ini juga aku perlu bermula daripada bawah. Namun aku percaya, dengan segala ilmu dan tunjuk ajar dari yang lebih arif, keghairahan dan minat yang mendalam aku pasti mendapat tempat dalam bidang pengulasan sukan ini.
Note from padangbolasepak.com: During the Restriction Movement Order 2020 Malaysia to combat Covid19 - Padangbolasepak.com encourages you from home to write essays about our beloved game of football. Can be anything. Why you fell in love with it? Your first game watching or playing? Friendships forged? Etc. Stars the limit.
500-1,000 / more words.
The objective is simple. Sharing the joy of football. Challenge you to write about the joy you may want to share. As well as keep you occupied and encourage to write. Provided that you have nothing else to do. Email us your essay with a photo attached at contact@padangbolasepak.com & we’ll post on the website as well on social media.
Thank you and take care brothers and sisters.