10 & 11 Februari 2018 | #KaranganBolaSeapk

10 & 11 Februari 2018 | #KaranganBolaSeapk by Hazeem

IMG_20180210_222250.jpg

10 & 11 Februari 2018.

Hari ini sudah genap 3 tahun sejak 2 hari ajaib terjadi dalam bolasepak tempatan, Di atas kertas, juara Liga Super 4 kali berturut-turut (ketika itu) kelihatan akan mengutip 3 mata mudah berhadapan dengan juara Liga Perdana 2017. JDT mengutip 6 mata dalam 2 perlawanan pertama mereka iaitu 2-1 menentang Kedah & 3-0 menentang PKNP di Larkin. Manakalah Kuala Lumpur pula ketika itu, gagal mengutip sebarang mata untuk kedua-dua perlawanan tersebutt apabila tewas 0-2 kepada musuh setempat di Cheras & kalah mengejut 0-2 kepada pasukan yang dinaikkan ke Liga Super atas dasar teknikaliti di Paroi.


10 Februari 2018

Usai tewas mengejut di Paroi, aku sudah merasa pasrah dengan apa yang terjadi dalam perlawanan berikutnya. Aku fikir tiada langsung peluang untuk Kuala Lumpur melakukan kejutan terhadap juara bertahan. Apatah lagi seperti biasa apabila perlawanan di Cheras kelebihan akan berpihak kepada pasukan besar yang mempunyai penyokong agak ramai. Ibarat beraksi di Larkin pada hari tersebut. Seringkali juga terfikir bilakah Kuala Lumpur akan memenangi sebuah perlawanan Liga Super? Berapa lama lagi aku harus menunggu untuk merasainya? Kali terakhir Kuala Lumpur memenangi sebuah perlawanan Liga Super adalah pada 6 Julai 2011 - perlawanan terakhir Liga Super 2011 menentang T-Team di Kuala Terengganu.


Musim 2012 seperti yang diketahui Kuala Lumpur menjadi pasukan pertama yang mengakhiri saingan Liga Super tanpa sebarang kemenangan untuk satu musim. Sekadar mengutip 5 mata daripada 26 perlawanan. Amat memilukan. Musim seterusnya lebih pedih, kontroversi jual perlawanan menyelubungi pasukan Kuala Lumpur sepanjang musim tersebut. Natijahnya terpaksa diturunkan pangkat ke liga lebih bawah buat 2 musim berturut-turut. Setelah beberapa musim naik turun dan sebagainya akhirnya kembali ke Liga Super setelah sekian lama. Namun apakah kehadiran Kuala Lumpur sekadar menjadi pelengkap sahaja setelah tewas 2 perlawanan awal pada musim berikut? Deretan peluang gagal disudahkan berserta kesilapan budak sekolah dilakukan penjaga gol serta pertahanan Kuala Lumpur pada perlawanan tersebut tidak membantu.


Kembali kepada hari perlawanan tersebut, permainan dimulakan & penyokong lawan tak henti-henti memberikan tekanan buat pasukan tuan rumah. Hujan mula turun renyai-renyai pada malam itu. Seawal permainan lagi Kuala Lumpur diasak bertubi-tubi oleh barisan serangan JDT yang dibarisi Gonzalo Cabrera, Luciano & Jorge Diaz serta dikawal oleh Safiq Rahim, Natxo Insa & Hariss Harun. Pada mulanya Kuala Lumpur begitu bergelut untuk menghadapi barisan serangan JDT, namun aksi cemerlang barisan pertahanan yang dibarisi Achmad Jufriyanto, Boburjon Akbarov & Hisyam Sha'ari serta aksi tangkas yang ditunjukkan oleh Kamarul Effendi berjaya mengagalkan sentuhan terakhir mereka. Segalanya berubah apabila pertahanan kental JDT, Marcos Antonio terpaksa digantikan dengan Adam Nor Azlin pada minit ke-40 akibat kecederaan hamstring. Ketika perlawanan sudah memasuki minit kecederaan untuk separuh masa pertama, Kuala Lumpur memulakan serangan dengan hantaran jauh dari Boburjon Akbarov ke Guilherme De Paula, lalu "combination play" antara trio Samba KL menjadi apabila Paulo Josue dengan tenangnya menewaskan Haziq Nadzli setelah menerima hantaran pendek dari Junior Apareciado. Itu adalah jaringan pertama Kuala Lumpur dalam Liga Super setelah 215 minit menanti.

Bersambung separuh masa kedua hujan semakin lebat di Cheras sehingga padang Stadium KLFA tak ubah seperti kubang. Masing-masing bermandi lumpuh apabila bola seringkali tersangkut di atas kawasan yang dipenuhi air. Setelah 12 minit berlalu, pengadil perlawanan memutuskan untuk menangguhkan perlawanan buat seketika. Namun setelah 30 minit menanti, keadaan masih tidak berubah akhirnya baki 33 minit permainan akan disambung pada petang hari berikutnya...........Kedudukan semasa Kuala Lumpur 1-0 JDT.


11 Februari 2018.

Malam sebelumnya aku tidak boleh tidur lena memikirkan baki 33 minit yang tinggal untuk perlawanan yang amat besar buat Kuala Lumpur musim ini Ada kalanya aku terfikir mampukah kita bertahan selama itu? Persembahan luar biasa diperlukan untuk terus pertahankan kelebihan yang dibawa pada semalamnya.

33 minit yang paling panjang (mungkin) dalam hidupku akan ditentukan pada pukul 4 petang hari tersebut. Dengan cuaca yang begitu panas terik, cabaran untuk kedua-dua pasukan. Perlawanan bersambung pada minit ke-57 dengan lontaran ke dalam untuk JDT. Sepanjang 33 minit tersebut, bertubi asakan Kamarul Effendi serta pertahanan Kuala Lumpur terpaksa hadapi. Entah berapa biji bas yang diletakkan di hadapan gawang pasukan Kuala Lumpur pada petang tersebut. Kamarul Effendi menebus kesilapan yang dilakukannya di Paroi pada 4 hari sebelumnya dengan aksi tangkas beliau menafikan segala percubaan dari barisan serangan Harimau Selatan. Sepatutnya Kuala Lumpur boleh menghabiskan permainan tersebut apabila Junior Apareciado berjaya membawa bola melepasi garisan tengah namun bola terakhir beliau begitu mengecewakan. Fabio Magrao langsung tidak melakukan sebarang pertukaran dalam perlawanan tersebut, maklumlah semuanya cukup rehat untuk hadapi 33 minit terakhir.

Wisel penamat ditiupkan, akhirnya Kuala Lumpur menamatkan penantian selama 2408 hari untuk memenangi sebuah perlawanan Liga Super. Lebih manis lagi, berjaya menewaskan juara bertahan. Kekalahan itu membuatkan JDT tidak dapat mengekalkan rekod tanpa kalah mereka pada musim tersebut. Namun selepas perlawanan tersebut mereka tidak tewas lagi. Hanya kekalahan mereka terhadap Kuala Lumpur menggagalkan usaha mereka untuk mencatat sejarah tidak tewas sepanjang musim dalam Liga Super buat kali ke-2 dalam 3 tahun.

Kuala Lumpur pula pada musim tersebut amatlah tidak konsisten, mampu menghasilkan sesuatu luar biasa menentang pasukan besar namun longlai ketika berhadapan pasukan yang sepatutnya boleh dikalahkan.

Apapun 2 hari ajaib ini memberikan pengajaran besar terhadap aku supaya sentiasa optiimis namun dalam masa sama perlu realistik terhadap pasukan kesayangan sendiri. Seusai perlawanan, aku masih bagaikan di dalam mimpi. Sukar percaya dengan apa yang terjadi pada 2 hari ajaib tersebut. Terkelu, terkedu, tergamam. Rasa bersyukur kerana akhirnya berjaya menjariingkan gol & mengutip 3 mata buat pertama kali dalam musim tersebut. Tiada perkataan dapat digambarkan untuk peristiwa tersebut.